Ilmu vs Harta

November 27, 2010

1 comments
Suatu hari, Saidina Ali R.A sedang memberikan syarahan apabila datang 10 pemuda yang hendak menguji kehebatan ilmunya.
Lelaki pertama bertanya, 'Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?'
Jawab Ali, 'Sudah tentu ilmu.'

'Apa dalilnya, wahai Ali?' tanya lelaki itu lagi.

'Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun, Firaun, Syaddad, dan lain-lain,' jawab Ali.

Lelaki yang kedua bertanya soalan yang sama. Khalifah Ali menjawab, 'Ilmu itu menjaga kita tetapi harta itu kamu yang menjaganya.'

Lelaki ketiga juga bertanya soalan yang sama. Maka dijawab oleh Khalifah Ali, 'Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta mempunyai ramai musuh, tetapi orang yang banyak ilmu mempunyai ramai kawan.'

Lelaki yang keempat bertanya soalan sama juga. jawapan Ali, 'Wahai saudaraku, harta itu apabila digunakan semakin berkurang, tetapi ilmu itu semakin banyak apabila diamalkan.'

Lelaki kelima pula bertanyakan soalan yang sama. Maka dijawab Ali, 'Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati, tetapi orang yang banyak ilmu pemurah dan dihormati.'

Lelaki keenam pula bertanya lalu dijawab oleh Ali, 'Pemilik harta akan dihisab pada hari kiamat. ilmu pula akan memberi syafaat kepadanya pada hari akhirat.'

Ali berkata kepada lelaki ketujuh, 'Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati.'

Kemudian Khalifah Ali berkata, 'Harta semakin disimpan semakin usang tetapi ilmu tidak usang dan tidak lapuk. Pemilik harta akan berkata harta itu milik dia tetapi ilmu pula berkata ilmu itu milik Allah.'

Akhirnya 10 orang pemuda itu beredar. Orang ramai merasa kagum dengan kepandaian Khalifah Ali menjawab satu soalan dengan banyak jawapan. 

Kata Ali, 'Sekiranya 100 orang datang bertanya satu soalan yang sama aku boleh memberi 100 jawapan berbeza.'

#dipetik daripada Buku Khalifah-khalifah yang Benar oleh Abdul Latip Talib..

Copyright © 2011 Cerita Belakang Tabir Design By Melz